Wednesday, July 2, 2014

Majlis Pelancaran Program Ihya’Ramadhan | Tabung Infaq Ramadhan

Majlis pelancaran Program Ihya’ Ramadhan 1435 Hijrah telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Jalaluddin bin Yusof, pengetua SMPK Setapak pada 2 Julai 2014 bersamaan 4 Ramadhan 1435 H setelah selesai menunaikan solat zohor secara berjemaah. Program ini bermatlamat untuk menyemai rasa cinta kepada kebaikan serta semangat untuk berlumba-lumba merebut ganjaran yang dijanjikan oleh Allah kepada umat Islam terutamanya dalam bulan Ramadhan. Program ini akan verlangsung sepanajng Ramadhan bermula 2 Julai sehingga 23 Julai 2014.
Berkat daripada semangat berlumba-lumba merebut kebaikan dalam kalangan warga SMPK Setapak, Tabung Infaq Ramadhan yang dilancarkan pada hari perasmian program telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM 1140.00 manakala dana Tabung Anak Yatim berjumlah RM 5487.00 telah digunakan untuk membeli persalinan lengkap hari raya kepada seramai 47 murid yang terpilih dan baki sebanyak RM 1500.00 telah disalurkan kepada Tabung Palestin dan Syria.

Minggu Dakwah Peringkat SMPK

Sepanjang bulan Ramadhan, Alhamdulillah semua warga SMPK yang beragama Islam telah berpeluang untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah diikuti dengan slot tazkirah atau bacaan yasin dan tahlil. Selain itu, beberapa pertandingan telah berlangsung dengan jayanya. Antara pertandingan tersebut ialah Pertandingan Menghafaz Surah Yasin, Pertandingan Menghafaz Ayat-ayat Hafazan Terpilih, Pertandingan Menghafaz al-Mathurat, Pertandingan Bercerita Kisah Tauladan, Kuiz Menulis & Membraille Jawi dan Pertandingan Nasyid.

Ceramah Nuzul Quran dan Majlis Berbuka Puasa

Majlis berbuka puasa yang diadakan pada 19 Julai 2014 ini telah dimulai dengan slot ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Yusri bin Ibrahim bersempena sambutan Nuzul Quran peringkat SMPK Setapak. Setelah selesai berbuka puasa, semua warga SMPK dan para hadirin menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan seterusnya Solat Sunat Tarawih secara berjemaah.

Program Tadarus al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran

Semua guru-guru dan kakitangan SMPK Setapak telah memilih halaman-halaman al-Quran untuk dibaca secara tadarus. Begitu juga dengan para pelajar, mereka perlu menghabiskan semua ayat yang telah dibahagikan sebelum berlangsungnya majlis khatam al-Quran. Alhamdulillah, Majlis Khatam al-Quran telah dilaksanakan pada 24 Julai 2014 (Khamis) setelah selesai menunaikan solat zohor secara berjemaah.




Disediakan oleh: Puan Noraini Bt Taha, Setiausaha Panitia Pendidikan Islam

- Copyright © SEKOLAH MENENGAH PENDIDIKAN KHAS (CACAT PENGLIHATAN) SETAPAK - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -