Monday, July 8, 2013

Tarikh    :  8 Julai 2013 – 2 Ogos 2013
Tempat  :  Gelanggang Goalball SMPK Setapak

  • Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadhan, Minggu Dakwah dan Tabung Infaq Ramadhan

Pelancaran Program Ihya’ Ramadhan 1434 H telah disempurnakan oleh En. Jalaluddin bin Yusof, Pengetua SMPK Setapak pada 8 Julai 2013 bersamaan 29 Sya’ban 1434 H. Program ini bermatlamat dapat menyemarakkan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dalam kalangan warga SMPK untuk melaksanakan amalan-amalan wajib dan sunat yang sangat dituntut pada bulan Ramadhan.

Hasil sumbangan daripada para guru dan staf SMPK Setapak, Tabung Infaq Ramadhan yang telah dilancarkan pada hari perasmian program telah berjaya mengutip dana sebanyak RM 2157.00 bagi perbelanjaan dana bingkisan Aidilfitri. Dana Bingkisan Aidilfitri ini digunakan bagi membantu pelajar miskin, yatim dan yatim piatu. Sebanyak RM 900 pula telah disumbangkan khusus untuk memberi bantuan zakat kepada beberapa pelajar yang terpilih.

Pihak panitia mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang, dengan doa semoga Allah memberi ganjaran sebaiknya serta mempermudahkan segala urusan yang baik.

  • Minggu Dakwah Peringkat SMPK Setapak

Bersempena Minggu Dakwah peringkat sekolah, lima pertandingan telah berjaya dijalankan iaitu Pertandingan Menghafaz Juz 30, Pertandingan Menghafaz al-Ma’thurat, Pertandingan Bercerita Kisah daripada al-Quran, Kuiz Thaqafah Islami dan Pertandingan Nasyid. Dengan adanya pertandingan-pertandingan seperti ini, para pelajar berpeluang menonjolkan bakat dan kebolehan di samping menambahkan ayat-ayat hafazan atau ilmu-ilmu pengetahuan berkaitan Islam dalam diri masing-masing. Ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat menjayakan aktiviti-aktiviti ini dan berharap semoga semangat beribadah ini akan terus kekal dan istiqamah.
  •  Majlis Berbuka Puasa 1434 H Bersama Pengarah Bahagian Pendidikan Khas

Majlis Berbuka Puasa warga SMPK Setapak bersama Pengarah Bahagian Pendidikan Khas telah dilaksanakan pada 20 Julai 2013 daripada 6.30 petang sehingga 10.00 malam bertempat di Gelanggang Goalball SMPK. Majlis yang ditaja sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan Khas ini dimulakan dengan ucapan daripada Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia sebelum para hadirin menjamah hidangan berbuka puasa. Majlis diteruskan dengan menunaikan ibadah Solat Tarawih berjemaah dan Jamuan Moreh.
  •  Solat Zohor Berjemaah, Bacaan Yasin dan Tazkirah Ringkas

Alhamdulillah, sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak, semua warga SMPK yang beragama Islam berpeluang berkumpul di gelanggang serbaguna pada jam 1.10 tengah hari untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah. Seterusnya, jemaah akan bersama-sama mendengar tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Zamani atau guru-guru lelaki yang terpilih secara bergilir.
  •  Program Tadarus Guru dan Staf SMPK serta Majlis Khatam al-Quran


Majlis Khatam al-Quran ini telah dilaksanakan pada Jumaat, 2 Ogos 2013 iaitu pada hari akhir persekolahan sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri. Program tadarus ini dilaksanakan dalam kalangan guru dan staf SMPK di mana masing-masing diberi tugasan membaca sekurang-kurangnya setengah juzuk al-Quran untuk dibaca sepanjang Ramadhan secara individu atau berkumpulan. Semoga kalamullah yang dibaca ini akan terus meniti di bibir-bibir kita walaupun Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita.

Berbuka Puasa Bersama BPK

Penyampaian Bingkisan Aidilfitri

Bantuan Zakat

       Solat Zohor Berjemaah   

Majlis Khatam al-Quran 

Solat Tarawih Berjemaah



Disediakan oleh,
Ustazah Noraini binti Taha
Setiausaha Panitia Pendidikan Islam

- Copyright © SEKOLAH MENENGAH PENDIDIKAN KHAS (CACAT PENGLIHATAN) SETAPAK - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -