Saturday, August 3, 2013

Panitia Sejarah SMPK Setapak sekali lagi telah menganjurkan pelbagai aktiviti dan program bersempena sambutan Bulan Patriotik pada tahun ini selaras dengan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-56. Sesungguhnya, sambutan Bulan Patriotik merupakan acara tahunan bagi SM Pendidikan Khas Setapak yang memberi kesempatan kepada warga sekolah ini agar tidak terkecuali dalam menilai erti sebuah kemerdekaan serta melahirkan semangat patriotisme. Selaras dengan tema sambutan tahun ini, "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpah Darahku", antara aktiviti yang telah dijalankan termasuklah kuiz harian sejarah, nyanyian lagu-lagu patriotik oleh murid-murid kelas Murni, pertandingan mencipta sajak (bagi murid menengah rendah dan murid menengah atas) yang bertemakan tema sambutan Bulan Kemerdekaan Kebangsaan pada tahun ini. Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri juga telah dikibarkan di sekitar kawasan sekolah. Bacaan biodata tokoh juga telah diadakan pada waktu perhimpunan rasmi. Di samping itu, lagu-lagu patriotik juga telah diperdengarkan sebelum waktu persekolahan pada setiap pagi dan waktu rehat pada setiap hari persekolahan (kecuali pada minggu Peperiksaan Percubaan SPM). Upacara pembukaan dan penutupan rasmi sambutan bulan patriotik peringkat sekolah telah disempurnakan oleh En. Jalaluddin bin Yusof, Pengetua SMPK Setapak pada 19 Ogos 2013 (pembukaan) dan En. Mohd. Hanafiah bin Mohd. Noor, Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum pada 23 September 2013 (penutupan). Hadiah-hadiah bagi pertandingan-pertandingan yang dijalankan sepanjang tempoh pelaksanaan Bulan Patriotik 2013 telah disampaikan kepada pemenang-pemenang semasa upacara penutupan.





Disediakan oleh,
Pn. Siti Nur Shuhada Chong bt. Abdullah
Ketua Panitia Sejarah

- Copyright © SEKOLAH MENENGAH PENDIDIKAN KHAS (CACAT PENGLIHATAN) SETAPAK - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -