Friday, January 18, 2013

Program anjuran Panitia Matematik ini merupakan program awal tahun yang dirancang bagi membantu calon-calon SPM tahun 2013. Program ini diadakan pada 18 Januari 2013 hingga 20 Januari 2013 bertempat Mayangsari Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan. Hanya dua orang guru yang terlibat sebagai fasilitator di sepanjang program, dengan dibantu oleh beberapa orang staf pembantu. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran telah dilaksanakan di dewan seminar.  Tumpuan diberi pada topik-topik yang sering ditanya dalam kertas 2 seperti set, persamaan serentak, graf fungsi dan juga statistik.  Peserta program diberi pendedahan tentang cara atau teknik untuk menjawab soalan dengan betul ketika peperiksaan nanti. Pada petang hari Sabtu (hari kedua), para peserta program telah dibawa ke pasar malam dan mereka dikehendaki melakukan transaksi pembelian barang-barang di dalam kumpulan yang lebih kecil. Pada ketika ini, mereka cuba mengaplikasi ilmu matematik dalam kehidupan sebenar disamping mempraktikkan kaedah orientasi dan mobiliti yang betul ketika berada di tempat awam. Secara keseluruhan, program yang dirancang telah berjaya dilaksanakan dengan sempurna tanpa menghadapi sebarang masalah di luar jangkaan. Terima kasih juga diucapkan kepada pihak Mayangsari Resort yang telah menyediakan tempat yang agak selesa kepada peserta program.


- Copyright © SEKOLAH MENENGAH PENDIDIKAN KHAS (CACAT PENGLIHATAN) SETAPAK - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -