Thursday, December 20, 2012
RASAH 19 Dis. - Seorang pelajar cacat penglihatan Teh Yong Shing (gambar), 17 hanya mampu mendengar keputusan cemerlang 7A yang diperoleh dalam Penilailan Menengah Rendah (PMR) menerusi panggilan telefon daripada gurunya di Kuala Lumpur.
Malah, kegembiraan anak pemandu lori itu terhenti setakat itu sahaja apabila tiada siapa yang boleh menghantarnya ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak, Kuala Lumpur untuk mengambil slip keputusan peperiksaannya kerana berada di Taman Harapan Baru, dekat sini.
Apa pun, dia masih dapat meraikan kejayaan itu bersama ibunya, Lee Fut Fah, 54 di rumah tanpa pengetahuan bapanya, Teh Leong Eng, 59 yang sedang bekerja.
''Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh guru selepas mendapat 7A dalam PMR. Yang sedihnya, saya tidak dapat bersama rakan dan guru meraikan kejayaan itu di sekolah.
''Hanya ayah saya yang boleh memandu, ibu tidak boleh memandu kereta. Tidak mengapa, yang penting ibu amat gembira sekali dengan keputusan ini," katanya yang cacat sejak lahir.
Yong Shing, diumumkan antara pelajar cemerlang di sekolah pendidikan khas itu dan merupakan harapan sekolahnya untuk muncul pelajar terbaik dalam PMR kali ini.
''Apa yang mampu saya katakan ketika ini ialah, ucapan terima kasih kepada guru di sekolah yang banyak membantu serta rakan-rakan yang sama-sama belajar. Kami tidak pernah merasa kekurangan dengan kecacatan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengenai rahsia kejayaannya, Yong Shing memberitahu, dia memberi perhatian dalam kelas dan salinan nota braile yang dibekalkan gurunya.
''Mana yang saya tidak faham akan dirujuk kepada guru dan itu banyak membantu kejayaan ini, selain kemestian dalam mengulangkaji pelajaran," katanya.
Selain itu, untuk berjaya katanya, kita tidak boleh berada dalam keadaan tertekan dan mengulangkaji di saat akhir.
''Kejayaan ini akan saya teruskan sehingga cita-cita menjadi seorang pensyarah akan tercapai," ujarnya.
© Utusan Melayu (M) Bhd