Friday, April 1, 2011

Oleh Hazwan Faisal Mohamad
bhnews@bharian.com.my
31/03/2011

TAHNIAH kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang seperti diumumkan baru-baru ini. Keputusan SPM kali ini menunjukkan peningkatan apabila semakin ramai memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran iaitu 10,488 daripada 467,970 calon.

Ia menunjukkan peningkatan daripada 7,987 pada 2009 dan bagi gred cemerlang tertinggi (semua A+) atau 403 calon berjaya memperolehnya berbanding 255 pelajar pada 2009. Antara yang berjaya termasuk dua pelajar cacat penglihatan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak (SMPKS), Kuala Lumpur iaitu Tang Kah Hung dan Ahmad Shahide Ruslan yang mendapat 10A. Tang dan Ahmad Shahide, masing-masing memperoleh 6A+, 3A, 1A- dan 4A+, 4A, 2A-, sekali gus muncul pelajar cemerlang SPM 2010 peringkat Kuala Lumpur serta menjadi pelajar pertama berjaya memperoleh keputusan semua A di sekolah berkenaan.
Ternyata kekurangan diri bukan penghalang untuk mencipta kejayaan. Mula cacat penglihatan ketika berusia 17 tahun, Tang berkata, beliau tidak menyangka memperoleh keputusan itu kerana hanya menyasarkan 9A.
Walaupun pernah berputus asa dengan mengurung diri di rumah selama tiga bulan selepas menjadi buta akibat penyakit tumor otak yang dihidapinya sejak Tingkatan Dua, Tang bangkit menyambung pelajaran selama setahun di Persatuan Orang Buta Malaysia untuk mempelajari kaedah penggunaan Braille sebelum mendaftar di sekolah pendidikan khas itu.

Apa yang menarik ialah kebangkitan Tang selepas disahkan buta hingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang, yang tidak ramai pelajar normal dapat lakukannya.

Pengetua SMPKS, Che Fatimah Che Abdullah menyifatkan Tang pelajar yang sentiasa berfikiran dan bertindak positif.

Semangatnya luar biasa dan tidak mudah menyerah kalah dengan apa jua halangan dan aktif di kelas dengan bertanya guru jika tidak memahami apa yang diajar. Beliau juga mesra dan mudah mendapat kawan menjadikannya disenangi ramai. Ia terbukti ketika ditemu bual di sekolah itu, baru-baru ini beliau tidak lokek berkongsi rahsia kejayaan dan sentiasa mengukir senyuman.

Tidak pernah terlintas di fikiran Tang untuk menjadi buta, namun takdir menentukan segala-galanya dan beliau menerima apa yang berlaku dengan hati terbuka.

Proses pembelajarannya juga kini berbeza berbanding ketika normal. Jika dulu mampu menghabiskan satu muka surat tidak sampai tiga minit, kini beliau mengambil masa lebih enam minit untuk membaca setengah muka surat menggunakan kaedah Braille.

Braille ialah kaedah yang diperkenalkan untuk membantu orang buta membaca dan menulis pada 1825 warga Perancis yang buta, Louis Braille. Tang sempat menunjukkan penggunaan mesin Braille, ternyata sukar untuk melakukannya jika tidak tahu apatah lagi belajar menggunakan kaedah itu.

Tidak dapat dibayangkan usaha yang dilakukan Tang membaca semua buku untuk 10 subjek diambilnya. Sudah tentu memerlukan pengorbanan dan kesabaran tinggi untuk melakukannya.

Sementara itu, rakannya Ahmad Shahide, 20, rabun sejak lahir akibat penyakit katarak. Beliau yang juga bekas ketua pengawas di situ tidak pernah menjadikan kelemahannya alasan untuk gagal, malah kalau boleh mahu dilayan sama seperti insan normal.

Baginya, sesiapa saja boleh berjaya asal gigih berusaha, bijak menguruskan masa dan berdisiplin yang menjadi kunci kejayaannya.

Katanya, akibat penyakit rabun itu, beliau terpaksa memakai cermin mata berkuasa tinggi, tidak cukup dengan itu perlu membaca buku sedekat mungkin.

Ahmad Shahide yang berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan itu juga tidak boleh membaca buku untuk tempoh lama kerana pening. Justeru, beliau menggunakan CCTV yang mengimbas buku dan disiarkan di skrin televisyen untuk dibaca.

“Saya harap kejayaan ini mendorong pelajar senasib untuk turut berjaya,” katanya yang bercita-cita menjadi guru Matematik.

(Source:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kekurangandiribukanhalanganciptakejayaan/Article/index_html)

- Copyright © SEKOLAH MENENGAH PENDIDIKAN KHAS (CACAT PENGLIHATAN) SETAPAK - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -